~Pengumpul dan penjual pelbagai jenis bentuk fizikal emas seperti goldbar dan syiling emas~
Tuesday, December 28, 2010
Dinar Emas : Instrumen Baru Mas Kahwin & Zakat.
Mahar atau Mas kahwin merupakan satu pemberian wajib dari seorang lelaki kepada bakal isterinya sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh hukum syarak. Mas kahwin ini boleh dibayar dalam pelbagai kaedah dan apa jua bentuk mengikut kesesuaian dan peredaran zaman. Lazimnya mahar ini disempurnakan dengan wang ringgit, senaskah Al-Quran, cincin, gelang tangan dan pelbagai bentuk lagi mengikut kemampuan serta persetujuan kedua-dua pihak mempelai. Pada hari ini syiling dinar emas telah mula diperkenal serta diketengahkan sebagai alat perantaraan mahar atau mas kahwin yang terkini dalam sesuatu majlis pernikahan.
Pernahkah anda terfikir kesesuaian syiling emas 9.166% seberat 42.5-gram dan 22-karat ini sebagai item baru penunaian mas kahwin mahupun hantaran perkahwinan. Barangkali jika dilihat sekali imbas cadangan ini agak ganjil tetapi diyakini dinar emas akan mendapat tempat serta sambutan di kalangan masyarakat. Rasional penggunaan dinar emas sebagai mas atau hantaran perkahwinan adalah bersandarkan emas yang boleh diurusniagakan dalam pelaburan Qirad minimum 12 dinar yang mampu memberi pulangan setinggi 2% sebulan, 24% setahun serta boleh diperbaharui setiap 6 bulan dari semasa ke semasa. Pelaburan Qirad ini adalah sesuatu yang menarik kerana ia berdasarkan emas yang mana harganya adalah stabil dan secara komprehensifnya meningkat dari semasa ke semasa tanpa terikat dengan perkembangan isu-isu semasa global seperti kegiatan manipulasi serta spekulasi matawang antarabangsa.
Selain dari itu, pelaburan Qirad ini boleh diumpamakan sebagai jaminan perlindungan aset untuk masa depan terutamanya perbelanjaan pendidikan anak-anak kelak. Berbekalkan peningkatan harga semasa setiap dinar yang dimiliki dan penokokan pulangan setiap bulan mampu meningkatkan lagi perolehan keuntungan pelaburan. Kaedah ini seandainya diteruskan dapat membantu pembiayaan masa depan individu dalam menghadapi peristiwa di luar jangkaan atau mencapai apa jua hasrat yang dicita-citakan. Keadaan ini adalah sebaliknya dalam pelaburan konvensional yang lazimnya berbekalkan wang ringgit yang mudah dispekulasikan di samping pulangan pelaburan yang tidak setanding dengan pelaburan Qirad. Pelaburan ini boleh dibuat di Singgahsana Emas Sdn Bhd, G-09, Plaza Usahawan, Jalan Hang Tuah, 75300 Melaka atau untuk maklumat lanjut di talian 06-2846572/73 pada waktu pejabat.
Dinar Emas juga boleh diaplikasikan sebagai alat pembayaran bagi menunaikan kewajipan zakat. Islam menggalakkan umatnya menunaikan perintah zakat disempurnakan dalam bentuk emas memandangkan kestabilan nilai intrinsiknya yang sekaligus membantu golongan 7 asnaf dihimpit oleh pengucupan kuasabeli atau “purchasing power” pengguna. Cadangan ini boleh dilaksanakan menerusi mekanisme perlantikan rangkaian pasar mini yang boleh menerimapakai dinar emas sebagai alat pembayaran untuk 7 golongan ini mendapatkan bekalan keperluan asas bulanan mereka. Pusat Zakat Melaka (PZM) akan melantik rangkaian pasar mini dan golongan 7 asnaf akan diberi agihan zakat misalnya secara puratanya 2 dinar lebih kurang bernilai RM500 sebulan. Penerima zakat ini akan membeli barangan keperluan mengikut jumlah 2 dinar tadi. Kaedah ini difikirkan dan diyakini sedikit-sebanyak dapat membantu mereka dalam apa jua keadaan sama ada dalam situasi ekonomi yang cemerlang mahupun sebaliknya. Dengan lain perkataan, dinar emas mampu bertindak sebagai penyimpan nilai sekaligus membolehkan penerima zakat menikmati bantuan tersebut dengan kadar yang maksimum. Maka dengan ini diharapkan langkah ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang dalam kesempitan hidup daripada terus dihimpit oleh tekanan kuasabeli yang semakin menurun.
Di samping itu, penggunaan dinar emas boleh diperpanjangkan untuk pelbagai tujuan sampingan seperti hadiah atau cenderahati ulangtahun hari kelahiran atau perkahwinan sebagai tanda penghargaan dalam usaha mempertingkatkan nilai ketinggian kehidupan manusia. Secara keseluruhannya apabila dinar emas diaplikasikan secara meluas, keadaan ini akan membantu meningkatkan kadar pemilikan dinar emas sebagai aset di kalangan masyarakat. Barangkali penggunaan dinar emas ini boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti berdasarkan motif serta kecenderungan masing-masing. Dalam skop yang lebih luas, negara akan mempunyai stok simpanan emas yang stabil yang dapat membantu Malaysia mempertahankan kewibawaannya jika krisis kewangan dan ekonomi global kembali melanda. Langkah ini adalah tindakan susulan pengalaman Malaysia pada tahun 1997 yang telah meninggalkan titik hitam apabila kedaulatan serta kestabilan ekonomi negara nyaris digugar oleh penyangak matawang menerusi kegiatan popular iaitu spekulasi dan manipulasi yang tidak beretika.
Justeru terpulanglah kepada masyarakat Melaka khasnya dan Malaysia umumnya bagi mengambil langkah drastik dan proaktif dari sekarang dengan bertindak mencari penyelesaian terhadap aset mereka dari ditelan susutnilai. Pendekatan ini perlulah diambil bagi memelihara serta mempertahankan kedaulatan Malaysia demi agama, bangsa dan negara tercinta.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment