UsahawanRemaja.Com | Usahawan Remaja | Usahawan

Friday, December 10, 2010

Renungan Sejenak.......

Kewujudan mata wang Euro adalah kerana hilangnya kepercayaan negara-negara eropah terhadap keupayaan Dolar Amerika. Negara-negara eropah telah bersatu hati dan memperkenalkan mata wang mereka tersendiri untuk menyelamatkan negara mereka daripada kemelut ekonomi Dolar Amerika.

Tapi kita, umat Islam sendiri yang disarankan untuk saling bersatu hati oleh Rasul junjungan kita, tidak dapat bersatu hati dalam mengembalikan mata wang emas dan perak dalam sistem ekonomi kita. Apakah sumbangan anda sebagai seorang muslim?

Saya suka berkongsi satu cerita. Kisah Nabi Ibrahim dan seekor burung. Saya pun ingat-ingat lupa tentang kisah ini. Jadi betulkan saya jika terdapat sebarang kesilapan fakta dalam cerita ini. Ceritanya lebih kurang begini.Saya cuba ingatkan.....

Kisah berlaku ketika nabi Ibrahim sedang dibakar hidup-hidup oleh orang-orang Yahudi. Pada ketika itu seekor burung telah melihat nabi Allah Ibrahim sedang dibakar hidup-hidup. Melihat keadaan itu, burung tersebut telah pergi ke suatu sumber air, dan dengan menggunakan paruhnya yang kecil, burung tersebut membawa air tersebut dan menitiskan air dari paruhnya ke atas nabi Ibrahim yang sedang dibakar. Melihat kejadian tersebut, rakan-rakan burung tersebut mentertawakan usaha burung tersebut dan berkata "Apakah dengan menitiskan air tersebut ke atas nabi Ibrahim dapat memadamkanya?" dengan nada sindiran. Maka burung tersebut menjawab "Sesungguhnya Allah tidak melihat akan berapa besar kesan dari sumbangan yang telah aku berikan, tetapi Allah menilai atas usaha apa yang telah aku lakukan untuk membantu rasul utusan-NYA itu. Jika aku disoal ketika mengadap-NYA nanti aku mampu memberi jawapan sesungguhnya aku telah melaksanakan tugas ku sedaya mampu. Sesungguhnya DIA lebih mengetahui apa yang telah aku lakukan."

Begitulah lebih kurang kisahnya. Iktibar yang kita boleh ambil ialah jangan menilai berapa besar sumbangan kita dalam mengembalikan sistem ekonomi Islam kita, tetapi nilailah apa usaha yang telah kita lakukan untuk mengembalikan sistem ekonomi Islam. Besar atau kecil sumbangan tidak penting, tapi kesungguhan usaha walau pun sekecil-kecilnya adalah yang lebih baik daripada hanya melihat tanpa melakukan apa-apa usaha. Sesungguhnya usaha yang kecil kalau dilakukan bersama oleh setiap muslim di dunia ini akan pastinya memberikan kesan yang cukup besar.

Marilah kita fikir-fikirkan. Lakukan tanggungjawab anda. Maaf jika ada sebarang ketidak tepatan fakta dalam cerita di atas. Saya hanya insan yang tak lepas dari melakukan kesilapan.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment